Search This Blog

Monday, April 30, 2018

BICARA DAKWAH : KEISTIMEWAAN BULAN REJAB

TAJUK : KEISTIMEWAAN BULAN REJAB

Bulan rejab merupakan salah satu daripada empat bulan haram dalam kalendar Islam.Selain Zulkaedah, Zulhijjah,dan Muharram,Rejab merupakan salah satu daripada bulan-bulan mulia,diharamkan pertumpahan darah padanya.Juga sebagaimana bulan-bulan Islam yang lain,bulan Rejab dihiasi dengan ukiran peristiwa-peristiwa perjuangan Rasulallah dan Umat Islam.
Antara peristiwa penting di bulan Rejab;

1. HIJRAH PERTAMA DALAM ISLAM

Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) itu berlaku pada tahun kelima kenabian atau 615 Masihi ke Habsyah dan ia berlaku berikutan peningkatan ancaman kepada baginda Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Allah SWT. Walaupun hijrah itu hanya membabitkan 14 orang tetapi ia sebagai satu usaha terpenting baginda untuk menyelamatkan Iman umat Islam daripada terjejas berikutan peningkatan ancaman dan penderitaan saban hari.Selain itu,hijrah juga sebagai satu usaha untuk merancang penyebaran agama Islam di Mekah dan tempat lain.

2. ISRAK DAN MIKRAJ

Peristiwa perjalanan Rasulullah sudah menjadi begitu sebati dengan jiwa setiap umat Islam. Peristiwa itu bukan hanya sebagai bermulanya perintah solat fardu lima kali sehari semalam.Tetapi melalui peristiwa itu, kita ditunjukkan balasan ke atas setiap perbuatan kita semasa masih hidup,sejauh manakah kesetiaan kita kepada agama Islam,bahawa dunia hampir kiamat dan apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadi penghuni syurga.

3. PEPERANGAN TABUK

Peperangan yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah itu bukan sekadar melambangkan penguasaan Islam sepenuhnya ke atas Semenanjung Tanah Arab kerana Tabuk terletak di kawasan paling utara semenanjung itu. Tetapi peperangan yang dimenangi oleh Islam tanpa pertumpahan darah itu memberi gambaran tentang kekuatan iman dan semangat umat Islam dalam mempertahankan maruah agama yang dihina oleh musuh Islam. Bangsa Rom memandang rendah dan begitu sombong untuk menewaskan tentera Islam di Tabuk kerana mereka menganggap dalam keadaan pelbagai rintangan. Di antaranya cuaca yang sangat panas, perjalanan beratus-ratus kilometer, bekalan air dan makanan yang terbatas,   di samping kepenatan dan keletihan perjalanan yang jauh itu.

4. PEMBEBASAN DAN KEJATUHAN BAITUL MAQDIS

Baitul Maqdis yang mula dibuka pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar bin Al Khattab r.a dan berjaya mempertahankan kota suci ketiga itu selama 500. Selepas itu, kota suci tersebut ditawan kembali oleh musuh Islam dan mereka mempertahankannya selama 50 tahun, sebelum Salahuddin Al-Ayubi merampas semula kota itu pada 27 Rejab 583 Hijrah. Namun, selepas 760 tahun peristiwa pembebasan itu iaitu pada 28 Rejab 1342 Hijrah atau 1924 Masihi, sistem Khalifah Islamiah dihapuskan secara rasmi oleh Mustafa Kamal Pasha Atartuk di Turki. Penghapusan tersebut menyebabkan konsep ukhuwah dalam kalangan umat Islam yang dibentuk oleh Rasulullah SAW telah hilang dan kesannya, pada tahun 1967 Masihi (1387 Hijrah), Baitul Maqdis jatuh semula kepada musuh Islam sehingga kini.

5. LAHIRNYA IMA SYAFIE
Kelahiran imam Syafie pada 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi di Gaza, Palestin itu sebagai permata yang berharga kepada umat Islam pada hari ini. Apa tidaknya, Imam Syafie merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab Syafie. Kehebatan beliau dalam dunia ilmu dikagumi oleh semua orang termasuk guru-gurunya sendiri. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata: “Imam Syafie itu ibarat matahari bagi dunia.". Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga hari ini ialah        Kitab Al Umm.

KESIMPULAN:

Persitiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku sepanjang sejarah Islam wajar diambil perhatian dan iktibar agar menjadi panduan dan pengajaran.Jauhilah daripada terpengaruh dengan anasir dan dakyah musuh Islam dalam mengaburi fikiran umat Islam agar terus lupa dan hanyut dengan perayaan yang tidak sepatutnya disambut contohnya April Fool, Valentine Day dan banyak lagi.

Semoga artikel ini dapat memberi manfaat buat semua.




* Terlambat share, dah masuk Syaaban.. huhu..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...