Salah satu perkara penting untuk berjaya dalam apa sahaja yang hendak kita buat adalah mempunyai tenaga semangat keazaman yang tinggi.
Ada banyak perkara yang memerlukan tenaga semangat keazaman yang tinggi untuk membolehkan kita berterusan melaksanakannya. Terutamanya jika melibatkan urusan yang sukar dan berkait dengan cubaan memecahkan siling penghalang kejayaan.
Antara perkara yang memerlukan tenaga semangat keazaman yang tinggi adalah seperti berikut:
- Bersenam – buat mereka yang malas dan jarang bersenam, memaksa diri untuk melakukan senaman setiap hari sekurang-kurangnya setengah jam adalah sesuatu yang amat sukar.
- Berdepan dengan masalah – bukan senang untuk berdepan dengan masalah. Tambahan pula jika satu keputusan yang penting perlu dibuat dan melibatkan orang lain di sekeliling kita.
- Menambah ilmu – bukan mudah untuk berterusan belajar terutamanya terhadap ilmu yang spesifik dan mendatangkan manafaat untuk apa yang sedang kita lakukan. Masalah kebosanan sering melanda jika kita terpaksa berhadapan dengan perkara yang sama saban waktu.
- Menghadapi kerenah manusia – jika anda seorang boss, jika anda seorang usahawan, tentu sedar bahawa masalah paling besar adalah berurusan dan menyelesaikan kerenah manusia atau lebih tepat lagi orang di bawah jagaan kita.
- Berhadapan dengan masalah kewangan yang ketat – dunia sekarang semuanya perlu wang. Tak ada wang dalam poket sedangkan kita ada benda yang perlu diselesaikan dengan wang memang satu cabaran yang amat getir.
- Menghadapi tekanan – tekanan dalam zaman moden ini membuatkan banyak orang kena serangan jantung dan hidup tidak keruan..
- Menghadapi kegagalan – jika tidak kuat semangat, kegagalan boleh membuatkan dunia dirasai telah tamat.
Orang yang berjaya biasanya menggunakan keadaan di mana tenaga semangat keazaman mereka sedang tinggi untuk melakukan perkara-perkara yang penting. Manakala mereka yang kecundang biasanya tak ada perancangan dalam menguruskan kerja penting mereka dalam keadaan tenaga semangat keazaman mereka.
Sebab itu orang yang mulakan harinya dengan baik dan pergi kerja, hasil kerja mereka adalah jauh lebih baik pada waktu awal pagi. Mereka yang bijak akan pastikan waktu awal pagi digunakan untuk buat kerja dan bukannya bergosip atau keluar minum teh tarik bersembang kosong.
Adalah penting untuk kita senaraikan mana yang lebih penting antara yang penting dalam urusan harian kita. Orang yang pandai prioritize kerja mereka akan sering meningkat tahap kejayaannya, manakala orang yang tak tahu prioritize kerja mereka akan biarkan sahaja tenaga semangat keazaman habis sia-sia tanpa ada kesan positif pada pergerakan atau kemajuan diri.
Jika anda tahu konsep hidup ringkas, anda akan pastikan hanya perkara penting dan perlu sahaja yang diberikan tumpuan. Mana saja yang tidak perlu elok diabaikan atau ditingglkan saja.
Seterusnya pastikan yang paling penting itu diserang ketika tenaga semangat keazaman kita di tahap tinggi.
Mungkin ramai ada masalah untuk tentukan mana yang penting dengan yang tidak penting. Biasanya ini berlaku jika anda tak ada matlamat yang jelas dan tidak pernah luangkan masa untuk memikirkan hala tuju dan strategi bagi mencapainya.
Seandainya anda masih tak jelas dengan matlamat atau hala tuju, maka mulakan dengan segera. Itu adalah urusan yang amat penting sekali jika anda mahu berjaya dalam kehidupan.
Dan jangan lupa untuk lakukan urusan memikirkan hala tuju dan matlamat kehidupan di kala tenaga semangat keazaman sedang tinggi. Gunakan pen dan buku nota untuk jalankan urusan penting tersebut.
Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment